Author Archives: sukriisa

Bengkel Penyelarasan Pembinaan Bank Item Sejarah

15 Februari 2020 – Bengkel Penyelarasan Pembinaan Bank Item Sejarah telah dilaksanakan dengan jayanya. Bengkel tersebut disertai oleh dua orang guru Sejarah daripada semua sekolah menengah daerah Langkawi termasuk wakil guru dari SMA Al-Baqiyatussolihat, Padang Rangut. Namun begitu, SMK Langkawi tidak diwakili oleh seorang guru pun. Bengkel tersebut dikendalikan oleh Cikgu Norita Samsudin, pemeriksa kertas Sejarah SPM dari SMK Mahsuri dan Cikgu Roslina Hashim dari SMK Tunku Putra.Bengkel yang bermula jam 8.30 pagi tersebut berakhir pada jam 1.00 petang. Pemurnian item yang telah dibina oleh guru akan dilaksanakan pada 23 dan 24 Februari, jam petang di Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi.

Bengkel Aplikasi Telefon Pintar dalam PdPc

19 Januari 2020 – Bengkel Aplikasi Telefon Pintar dalam PdPc untuk guru-guru Maktab Mahmud Langkawi telah dilaksanakan dengan jayanya. Bengkel yang bermula jam 2.10 petang tersebut telah dihadiri oleh hampir semua guru Maktab Mahmud Langkawi termasuk MLT dan SLT. Bagi menjayakan bengkel tersebut, kepakaran yang ada pada ML SMK Ayer Hangat dimanfaatkan sepenuhnya, iaitu Pn Siti Farah Wahida bt Ahmad Hariri. Beliau turut dibantu oleh Pn Atifah bt Azizi dan En. Mohd Mustaqim. Kedua-duanya juga guru SMK Ayer Hangat. Turut hadir ialah SISC+ Sukri hj Isa yang merupakan mentor bagi kedua-dua buah sekolah tersebut. Bengkel tersebut dilaksanakan bertujuan untuk memastikan semua peserta berpengetahuan dan berkemahiran

untuk memanfaatkan kelebihan yang ada pada telefon pintar masing-masing melalui sambungan terus ke televisyen (tanpa wayar) yang ada di semua kelas. Diharapkan guru-guru akan mengintegrasikan PdPc masing-masing dengan elemen teknologi maklumat selaras dengan pedagogi PAK21 yang sangat diberikan penekanan dalam sistem pendidikan kita sekarang ini.

Kursus Penyerapan Ilmu PKJR dalam Mata Pelajaran BM Sekolah Menengah Daerah Langkawi

Kursus Penyerapan Ilmu PKJR dalam Mata Pelajaran BM Sekolah Menengah Daerah Langkawi dilaksanakan dari 26 hingga 28 Ogos 2019 bertempat di Bilik Seminar PPD Langkawi (hari pertama) dan di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Kuah (hari kedua dan ketiga). Kursus ini melibatkan 13 orang guru Bahasa Melayu dari 7 buah sekolah menengah daerah Langkawi. Mereka mewakili sekolah masing-masing dan perlu disampaikan kepada semua guru Bahasa Melayu di sekolah masing-masing sebelum sesi persekolahan 2020 bermula. Hal ini demikian kerana mulai sesi persekolahan 2020, penerapan ilmu PKJR dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 1, 2 dan 3 perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya 1 jam sebulan. Kursus ini diuruskan oleh Pn Salawati Saad, Penolong PPD Bahasa dan jurulatih utamanya terdiri daripada Pengarah JKJR Negeri Kedah, Pegawai JKJR dari ibu pejabat Kuala Lumpur, SISC+ Sukri Hj Isa (PPD Langkawi) dan dipantau selia oleh Pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dari Putrajaya. Program ini adalah hasil kerjasama pintar antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Read more